Adalah penting bagi kita untuk mengetahui kalam Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam dalam bab kaifiat dan fadhilat ibadah. Ini karena ia
merupakan janji benar yang menjadi jaminan yang kukuh untuk kita
berpegang dengannya. Menjadi sumber motivasi buat orang-orang yang
beriman.
Berikut adalah beberapa hadith Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
yang menerangkan kepada kita bagaimana untuk mendapatkan pahala maksimal
dari kebaikan Ramadhan. Saya telah memetiknya dari kitab
Riyadhus-Solihin susunan Imam Nawawi dan beberapa kitab muktabar yang
lain. Semoga kita semua dapat mengamalkannya, insyaALLAH.
1. Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Zaid bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata:
“Kami sahur bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam, kemudian kami melaksanakan solat.” Ada seseorang bertanya:
“Berapa lama antara sahur dengan solat itu?” Ia menjawab: “Kira-kira 50
ayat.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari ‘Amr bin ‘Ash radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab adalah adanya makan sahur.” (HR Muslim)
2. Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka
Dari Sahl bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata:
“Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam sentiasa berbuka dengan
beberapa biji ruthob (kurma yang baru masak) sebelum solat. Jika tidak
ada ruthob (kurma yang baru masak), maka beliau sallAllahu ‘alaihi
wasallam berbuka dengan tamar (kurma yang sudah kering). Jika tidak
tamar (kurma yang sudah kering), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam
meneguk air beberapa teguk.” (HR Abu Daud dan At-Turmudzi)
3. Berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka.
Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Ada 3 golongan yang tidak ditolak do’a mereka, iaitu orang yang
berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang
teraniaya.”
4. Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam bersabda:
“Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di
antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah
bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau
mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang
berpuasa””. (HR Bukhari & Muslim)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan
buruk, maka Allah tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.”
(HR Bukhari)
5. Bersiwak atau menggosok gigi.
Amir bin Rabi’ah berkata:
“Saya melihat Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersiwak dan beliau
pada saat itu sedang berpuasa. Kerana seringnya, maka saya tidak dapat
membilang dan menghitungnya.” (HR Bukhari)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Andaikan tidak memberatkan umatku, niscaya mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap kali berwudhu.” (HR Bukhari)
6. Bermurah hati dan banyak menderma.
Dari Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya:
“Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling
dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan
yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap
malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari
angin yang bertiup.” (HR Bukhari)
7. Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.
(Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada
setiap malam Ramadhan.)
Membaca al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi saat bulan Ramadhan, hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya. Para ulama apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran. Membaca untuk memahami al-Quran yakni mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.
8. Memberi makan untuk berbuka puasa.
Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa,
maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan
tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” (HR At
Turmudzy)
9. Mendirikan malam dengan solat sunnat (solat Tarawih)
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
“Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat pada malam bulan Ramadhan
dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka
akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim)
10. Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan
Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata:
“Bahwa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh
terakhir bulan Ramadhan. diramaikannya waktu malam, dibangunkannya ahli
keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim)
11. Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan.
Dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata:
“Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata:
“Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada
sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehingga Beliau sallAllahu ‘alaihi
wasallam dipanggil ALLAH Ta’ala, kemudian setelah beliau sallAllahu
‘alaihi wasallam wafat, isteri-isterinya meneruskan kebiasaan Beliau
itu.” (HR Bukhari & Muslim)
Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran yang besar dari
hadith-hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam di atas. Janganlah
dilepaskan peluang untuk mendapatkan pahala yang besar hasil dari usaha
kita untuk bersungguh-sungguh melaksanakan sunnah di atas.
Selain dari sunnah yang telah dinyatakan di atas, jangan lupa dan
meremehkan lain-lain sunnah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
seperti senyum, beri salam, solat jamaah di masjid, berbuat baik kepada
ahli keluarga dan jiran, beri tadzkirah, merendah diri dan lain-lain.
Mudah-mudahan hidayah dan taufiq menyinari hati dan jiwa kita semua
dan mudah-mudahn melekat ke dada kita semua akan nilai besar Taqwa,
amin.
Sumber: http://albakriah.wordpress.com/
0 komentar:
Posting Komentar