✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar)
yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa
malaikat yang lain.Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang
tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
✐
Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah
kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan
keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan
kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup,
tidak mati.
✐
Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup
sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi
putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit
atau bulat seperti bumi.
✐
Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang
berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok
yang kembang membesar dari biji benih.
✐ Semua
manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak
rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang
nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
✐ Lalu
datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau
manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka
menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang
amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan
lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib
mereka.
✐
Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya,
lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang
amat dahsyat.
✐
Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah
malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat
saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
✐
Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga
dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama
berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat
nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering.
Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi
lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing.
Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
✐
Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang
mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan
mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak
akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu
bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih
putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang
mengalir dari syurga.
✐ Semua
makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang
mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan
berkata “Aku takut pada Allah”.
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang
ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir
air matanya kerana takutkan Allah.
✐ Oleh
kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu
berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara
“pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi.
Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha
mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan
kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi
Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan
sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW.
Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
✐ Lalu
berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa
baginda.
✐
Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati
semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit,
turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 malaikat yang sangat besar (besarnya
sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat
sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.
✐
‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang
mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 malaikat yang besar dan
gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang
menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya
yang sangat kuat.
✐ Kursi
iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 malaikat
yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah
padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan
istana.
✐
Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan
amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah
Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka
dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah
/ Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.
✐
Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang
kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut
ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
✐ Umat
yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang
pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan
adalah perkara pertumpahan darah.
✐
Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut
kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan
bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
✐ Semua
makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya
amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang
bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
✐ Acara
ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan
pengikut masing-masing dihisab.
✐
Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh
amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
✐
Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki
akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili
oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.
✐
Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk
menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah
seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
✐
Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan
mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua
syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
✐ Para
nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk
memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000.
Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
✐
Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi
jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang
dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang
dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan
dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
✐
Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000
tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang
melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan
berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa
menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
✐ Para
malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu.
Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya
melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan:
Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal
Abidin Muhammad Al-
Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
0 komentar:
Posting Komentar